Wednesday, October 22, 2008

ISU MAHASISWA ISLAM> HEDONISME PEMUSNAH MASYARAKAT, MAHASISWA?

Assalamualaikum kepada sidang pembaca yang saya hormati sekalian, dewasa ini terlalu banyak kita disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengenengahkan unsur-unsur yang dilihat banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya golongan remaja. Akademi fantasia, rancangan Mentor, rancangan Gangstars, One In A Million merupakan di antara contoh rancangan yang dibayangi dengan budaya hiburan daripada negara asing yang dilihat mengajar masyarakat kepada budaya berhibur yang melampau.

Media massa dan media elektronik banyak memainkan peranan penting kepada masyarakat dalam memberI memberi input yang berguna atau sebaliknya. Media mampu melahirkan yang berilmu, berpengetahuan dan berakhlak tetapi media juga boleh menjadikan sebaliknya. Saya ingin mengajak pembaca untuk melihat kembali keadaan pada zaman awal kemerdekaan di mana media merupakan medan untuk golongan-golongan intelektual memberikan pandangan mahupun luahan hati mereka serta menjadi medan merapatkan perpaduan di antara masyarakat Tanah Melayu. Lain pula situasinya sekarang apabila media massa tidak banyak memberikan pengetahuan dan ilmu yang berguna kepada masyarakat khususnya mahasiswa. Aspek hiburan merupakan tumpuan utama yang ditonjolkan oleh media walaupun hiburan itu bukanlah sesuatu perkara dilarang tetapi sekiranya diberi dalam bentuk yang terlalu banyak akan menyebabkan pemikiran masyarakat terbatas kepada dunia hiburan semata-mata. Jika ditanya kepada kanak-kanak kecil tentang apakah cita-citanya apabila besar nanti rata-rata memberi jawapan yang sama iaitu ingin menjadi penyanyi. Adakah mentaliti ini yang ingin diterap ke dalam pemikiran masyarakat khususnya pelapis muda yang bakal memerintah Malaysia tidak lama lagi.

Mahukah kita melihat bakal-bakal pelapis pemimpin Malaysia ini terus dibelenggu dengan budaya hedonisme daripada barat ini? Mahukah kita melihat golongan muda ini hanya berhibur tanpa mengambil tahu hal apa yang berlaku di sekeliling mereka mahupun diperingkat dunia? Sudah tentu kita mahukan pelapis-pelapis pemimpin Malaysia ini merupakan golongan yang matang dalam berfikiran dan mampu membawa kemajuan yang seimbang kepada masyarakat dan negara. Suka untuk saya tegaskan disini bahawa berhibur tidaklah salah tetapi biarlah bersederhana dan bukannya dengan kadar yang melampau. Kerajaan dan pihak swasta perlu sedar bahawa masyarakat hari ini sudah tertanam dengan mentaliti bahawa untuk hidup pada zaman moden hari ini hanyalah dengan menjadi penghibur atau penyanyi walhal banyak lagi bidang pekerjaan yang boleh untuk masyarakat ceburi selain daripada dunia hiburan.

Hiburan di Malaysia kini boleh dikatakan di tahap membimbangkan bukan kerana tiadanya golongan pelapis tetapi oleh kerana timbulnya masalah kebanjiran golongan pelapis yang terdiri daripada golongan muda. Lain pula kalau dibandingkan dengan bidang-bidang lain contohnya sukan, pertanian, perikanan, pengkajian, penciptaan dan sebagainya. Hal ini jika dibiarkan berterusan secara tidak langsung dapat menghasilkan mahasiswa dan masyarakat yang bermentaliti rendah dan tidak berdaya saing. Perkara inilah yang patut dibimbangkan oleh pihak kerajaan kerana dengan suasana dunia yang semakin global ini memerlukan masyarakat yang berdaya saing dan kreatif agar dapat memajukan seterusnya menaikkan nama negara di mata dunia dan bukanlah dengan hanya mempunyai bakat dalam hiburan semata-mata.

Di sinilah kerajaan dan semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengatur dan merombak kembali segala perkara yang dilihat tidak penting dan dapat merosakkan masyarakat kepada perkara yang dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi penguasaan teknologi dan kemahiran dengan aspek hiburan yang pada zahirnya tidaklah dilarang sekiranya tidak berlebih-lebihan. Hal ini penting dalam memastikan tenaga muda tidak disia-siakan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat kesan daripada budaya hedonisme. Saya ingin mengajak mahasiswa selaku pelapis kepada kepimpinan negara untuk turut sama berganding bahu menyuntik semangat kepada diri masyarakat untuk memastikan masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa sendiri tidak terus menjadi seperti ayam daging yang hanya menurut dan mengikut arus peredaran masa tanpa mengkaji selidik pro dan kontra sesuatu budaya atau perkara itu. (sumber dari PMIUTM)

No comments: